Rasulullah Bersyair?

kemusykilanRasulullah s.a.w merupakan orang Arab yang paling fasih dalam pertuturan Bahasa Arab. Ini telah disepakati oleh keseluruhan ulama. Namun baginda s.a.w tidak pernah melantunkan atau mendendangkan sebarang syair Arab.

Sebagaimana firman Allah Taala di dalam surah Yaasin, 69 :


Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya dan bersyair itu tidaklah layak baginya.
Al Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan.

Baginda tidak diberikan kemampuan untuk bersyair supaya al-Quran dapat dipelihara dan membuktikan bahawa baginda adalah seorang yang ummiy, tidak mampu membaca dan menulis. Kebiasaannya, bangsa Arab yang dapat mendendangkan syair adalah di kalangan mereka yang pandai membaca.

Sebagai seorang yang hidup dalam suasana yang di kelilingi dengan budaya syair, mana mungkin dapat lari daripada pengaruh syair. Terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan baginda pernah melantunkan beberapa syair, namun bait syair yang dituturkan oleh baginda tidak sempurna, sama ada dituturkan sebahagian sahaja atau dituturkan dengan sempurna tetapi sebagian kalimah telah ditukar menyebabkan wazan syair telah rosak.

Sebagai contoh :

Baginda pernah melantunkan sebahagian bait syair karangan Labid :

ألا كل شيء ما خلا الله باطل

Namun terhenti di situ sahaja, tidak dihabiskan bait tersebut dengan,

وكل نعيم لا محالة زائل

Baginda juga pernah melantunkan dengan sempurna bait syair oleh Torfah :

ستبدي لك الأيام ما كنت جاهلا *** ويأتيك (من لم تزود) بالأخبار

Namun bait yang sebenar adalah

ويأتيك بالأخبار من لم تزود

Situasi di atas membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah bersyair secara sempurna sebagaimana budaya syair ketika itu.

Tidak terdapat suatu ungkapan yang bertepatan dengan wazan syair yang pernah dituturkan oleh baginda melainkan dua ungkapan berikut :

Pertama : Riwayat al-Barra', dia melihat Rasulullah s.a.w. di atas baghal putih ketika perang Uhud berkata :

أنا النبي لا كذب *** أنا ابن عبد المطلب

Kedua : Riwayat Jundab, ketika jari Rasulullah s.a.w. berdarah baginda berkata :

هل أنت إلا إصبع دميت *** وفي سبيل الله لقيت

Mengikut perbahasan ulama, meskipun kedua-dua ungkapan di atas bertepatan dengan bahar Rajz ( al-Manhuk dan al-Masytur ) namun Rajz tidak dianggap syair tetapi hanyalah wazan biasa sebagaimana saja' dan ia adalah wazan biasa yang sering dituturkan oleh kanak-kanak dan orang-orang yang susah. Rajz hanya dikira sebagai syair sekiranya dikarang dan disusun panjang lebar.

Wallahu a'lam.

Rujukan : Kitab I'jaaz al-Quran wal Balaghah an-Nabawiyyah karangan Mustafa Sodiq ar-Rafi'e