Sastera Arab : Merentasi Zaman

Sebut saja sastera, gerun bunyinya. Lebih-lebih lagi sastera Arab. Hatta pelajar fakulti Bahasa Arab sendiri, dipaksakan juga untuk menghadam walaupun perit. Tiada kenikmatan dengan paksaan.


Web Ensiklopedia Syair Arab

Di sini kita mengenali sepintas lalu sastera Arab, zaman demi zaman ;

1. Sastera Zaman Jahiliah ( Adab Jahiliy )

Bermula 150 - 200 tahun sebelum Hijrah. Terkenal dengan "Mu'allaqat" sama ada 7 atau 10 dek kehebatan syair-syair tersebut lalu digantung di dinding Kaabah. Antara penyair yang terkenal ketika itu adalah Imri ul Qais, an-Nabighah az-Zubyani, Zuhair ibn Abi Sulma.

2. Sastera Permulaan Islam ( Adab fi sadr Islamiy )

Bermula seiring kemunculan Islam sehingga berakhirnya zaman khilafah ar-Rasyidiin ( 40H ). Syair yang terkenal adalah berkenaan memuji Nabi s.a.w, kurang kepelbagaian citra kerana ketika itu lebih menumpukan kepada usaha dakwah dan futuhaat. Antara tokohnya ; Hassaan ibn Thabit, Ka'ab ibn Zuhair ibn Abi Sulma.

3. Sastera Zaman Umawiyyah ( Adab Umawiy )

Bermula dengan kemunculan Khilafah Umawiy ( 41 H ) sehingga kejatuhannya pada tahun 132 H. Antara penyair handalan ; Farazdaq, Jarir, al-Akhthal.

4. Sastera Zaman Abbasiyyah ( Adab 'Abbasiy )

Antara tahun 132 H sehingga kejatuhan Baghdad ke tangan Tatar ( Mongolia ) tahun 656 H. Zaman yang banyak menyaksikan kebangkitan dan perkembangan ilmu dan sastera. Antara penyair hebat ; al-Mutanabbiy, al-Buhturiy, Abu at-Tammam, Basyar ibn Burd, Abu Nuwwas, Abu al-'Ila' al-Mi'ariy.


5. Sastera di Andalus ( Adab Andalusiy )

Bergerak seiring dengan Adab Abasiy cuma tempat berbeza ; Adab 'Abbasiy meliputi kawasan timur tengah, Adab Andalusiy merangkumi beberapa negara Eropah khususnya negara Sepanyol dan Portugal. Dijadikan satu laras sastera tersendiri walaupun sezaman dengan Adab 'Abbasiy kerana perbezaan yang amat ketara di antara 2 laras sastera tersebut. Berakhir dengan kejatuhan kerajaan Islam Andalus ke tangan Kristian tahun 1492 M.
Penyair masyhur ketika itu ; Ibn Zaiduun, Ibn Abdi Rabbihi, Safiyuddin al-Hilliy, Ibn Nabatah.

6. Sastera Zaman Negara-negara Berturutan ( Adab fi 'asr ad-Duwal al-Mutatabi'ah )

i. Pemerintahan az-Zinki 521 - 579 H
ii. Pemerintahan al-Ayyubi 579 - 648 H
iii. Pemerintahan al-Mamluki 648 - 922 H
iv. Pemerintahan al-'Usmani 922 - 1213 H

Antara penyair terkenal ketika ini seperti ; al-Busairi, Ibn Ma'tuq.

7. Zaman Moden ( Adab Hadis )

Bermula pada 1213 H selepas kemasukan Perancis ke Mesir. Berlaku pembaharuan dalam sastera Arab seiring perkembangan teknologi percetakan. Antara yang terkenal ; Ahmad Syauqi, al-Barudi, 'Abbas al-'Aqqad, al-Manfaluti.

Sekadar maklumat secara ringkas, waAllahu a'lam.

0 respon: